Kesetiaan

on Thursday, August 29, 2013

Disebalik kejatuhan dua pemimpin Mesir iaitu Hosni Mubarak dan Morsi, aku melihat satu intipati penting atau penyebab utama kepada kejatuhan dua pemimpin ini. Apakah itu...?

KESETIAAN

Kesetiaan siapa..? Kesetiaan Pasukan Keselamatan atau lebih jelas Polis dan Tentera.

Kejatuhan Presiden Hosni mengambil masa 18 hari dari tarikh demonstrasi jalanan berlangsung sehinggalah pasukan keselamatan Mesir mengambil keputusan berpaling dan berpihak kepada rakyat. Sehingga muncul slogan "Rakyat dan Tentera Seiring Bersama". Manakala, Presiden Morsi mengambil masa hanya tiga hari itupun kerana 48 jam tempoh yang diberi oleh Menteri Pertahanan kepada Morsi untuk berundur secara sukarela. Keengganan Morsi menyebabkan rampasan kuasa tentera dilakukan oleh As-Sisi. Kesilapan besar Morsi adalah melantik talibarut Hosni berada di jawatan penting tersebut. (Di Malaysia, diharap DS Najib boleh la buang pak menteri yang lain mazhabnya)

Selain di Mesir banyak lagi contoh negara-negara yang jatuh akibat pembelotan pasukan keselamatan contohnya di Pakistan.Ini menunjukkan betapa pentingnya institusi ini terhadap keselamatan negara. 

Kita bersyukur kerana di Malaysia, In sha Allah perkara ini tidak berlaku dan berdoalah agar ianya dijauhkan. Tapi dalam tidak sedar ada usaha untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat melalui pilihanraya ini dengan cara yang sama di Mesir.

1. Di Mesir, Hosni yang telah memimpin Mesir lebih dari 30 tahun mengesploitasi badan yang menguruskan pilihanraya mereka dengan mengatakan Hosni mendapat sokongan 80% rakyat Mesir menimbulkan keraguan rakyat Mesir sendiri sedangkan mereka secara terang-terangan telah menolak kepimpinan Hosni. Dengan harapan rakyat Malaysia akan bertindak sama seperti rakyat Mesir maka mereka meyerang institusi yang menguruskan pilihan raya di Malaysia dengan mengatakan mereka tidak telus dan menuduh SPR dengan pelbagai tuduhan tanpa bukti kukuh selain dari "cakap-cakap kedai kopi". Ini kerana bagi mereka ini tidak masuk akal kerana sejak merdeka, Malaysia tidak pernah dipimpin pemimpin selain dari Parti Barisan Nasional (Parti Perikatan). Mereka gagal memimpin Malaysia melalui pilihanraya.

2. Kerana ketidakpuasan hati itu, mereka membawa penyokong-penyokong mereka berhimpun dijalanan dan melakukan kerosakan dengan harapan dapat jadi seperti Mesir yang dapat menggulingkan kerajaan Hosni melalui perhimpunan jalanan. Beberapa siri jalanan dilakukan semuanya gagal kerana tidak mendapat sokongan majoriti rakyat Malaysia. Malah, rakyat Malaysia melihat mereka sebagai golongan merapu. Kesetiaan yang diberikan oleh pasukan keselamatan negara terhadap kerajaan yang dipilh oleh rakyat tidak seperti pasukan keselamatan Mesir menjadikan kegagalan mereka adalah kegagalan yang mutlak.

3. Kecewa apabila slogan "Rakyat dan Tentera (pasukan keselamatan) Seiring Bersama" tidak dapat digunakan di Malaysia maka pasukan keselamatan ini diserang secara psikologi dan pelbagai tuduhan membuta tuli (Di Malaysia, polis lebih banyak berurusan dengan soal keselamatan dalam negara berbanding tentera). Sehinggakan badan perisikan utama negara diminta untuk dibubarkan. Segala tindakan polis dipertikaikan. Setiap tindakan diperhatikan. Kesilapan kecil diperbesarkan seolah-olah boleh membawa keruntuhan negara. Namun kesetiaan tetap diberi kepada rakyat yang telah memilih pemimpinnya. Rakyat tetap menyokong pasukan keselamatan negara. Semakin lama usaha mereka dilihat lebih merapu. Kegagalan masih menyelubungi mereka kerana KEBENARAN AKAN SENTIASA MENANG DAN ALLAH AKAN SENTIASA BERSAMA MEREKA YANG BENAR.

Wallahualam...

Selingan : 

"Apa ni...? Apa wayang dia orang main pula?"

"Semasa polis terkorban mempertahankan tanah air di Lahad Datu, kita dikatakan berdrama. Bila tembak menembak berlaku di sana sini, mereka kata polis berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa. Bila penjenayah ditembak mati, mereka kata polis (bersikap) melulu dan zalim."

"Kita tidak peduli orang cakap, kita ada tugas untuk laksanakan. Kita akan jalankan tugas kita dalam memastikan rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat." 

- Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar

Berbahasa.

on Wednesday, August 28, 2013
Dulu, masa belajar Bahasa Melayu selalu kena marah bila kita cakap "..para-para tetamu.." atau "...para tetamu-tetamu..". Kata cikgu, para sudah melambangkan banyak atau bahasa omputihnya plural. Tapi sekarang aku tengok dah ramai sangat yang guna, termasuk dari golongan cerdik pandai apabila ditemubual. Ini membuatkan aku tertanya-tanya, sekarang dah boleh guna ke? Iyela...manalah tahu kan, Bahasa Melayu dekat Malaysia ni suka berubah-ubah. Macam dulu kata bilangan "banyak" mana boleh digunakan untuk menggambarkan bilangan manusia. Mesti gunakan kata bilangan "ramai". Tapi sekarang dah boleh, cuma "ramai" masih tak boleh digunakan untuk benda selain manusia.

Teringat dulu masa aku belajar di matrikulasi (KMPh), aku berkawan rapat dengan seorang berbangsa India. Dia ni bijak, semua subjek skor. Bahasa Melayu dia pun lancar. Kalah orang Melayu yang berangan nak jadi mat saleh... tapi kelembutan pertuturan dalam Bahasa Melayu sahaja yang tidak difahami. Maklumlah dia kan Indian, kelembutan pertuturan dalam bahasa ibundanya dia tahulah.

Apa maksud aku sebenarnya? Ok. Nak dijadikan cerita, bila kami dah mula belajar dan dia pula mula selesa dengan kami dan para pensyarah, gaya perbualan dia menjadi lebih selesa. Lupa pula nak beritahu, dia ni second intake. Tahun aku belajar adalah tahun pertama matrikulasi di bawah kementerian pendidikan dibuka kepada non-bumi untuk belajar. Jadi, sambung balik cerita....

Bila dia selesa bercakap, adalah sekali ni dia bertanya kepada pensyarah kimia kami dan dia membahasakan dirinya "aku". Kami terkejut dan riak wajah pensyarah kami pun berubah tapi dia tidak bercakap apa-apa, tapi terus melayan soalan-soalan diajukan. Kawan-kawan yang lain hanya berbisik-bisik dibelakang. Aku yang rapat dengan dia terpanggil untuk menegurnya atau lebih kepada untuk memberitahu kepadanya. Jika hendak bersembang dengan sesiapa yang lebih tinggi pangkat atau statusnya sewajarnya dia menggunakan perkataan "saya" kerana "aku" dikira kurang sopan untuk bertutur dengan seorang pensyarah. Dia terperanjat kerana dia tak tahu rupanya wujudnya formaliti dalam Bahasa Melayu dan dia ingat "aku" dan "saya" sama sahaja. Dia beberapa kali minta maaf dengan aku walaupun hakikatnya dia tak salah pun.

Bila difikirkan semula, memang masa aku belajar dekat sekolah dulu tak ada pun ditekankan oleh guru-guru bahasa aku tentang perkara ini cuma sebagai orang Melayu kita memang dah diajar agar memilih perkataan-perkataan yang sopan bila bertutur dengan seseorang yang lebih dihormati. Dalam bahasa Inggeris mereka panggil sebagai honorifics. Aku rasa silap sistem pendidikan kita yang tidak menitikberatkan hal ini dengan menganggap ianya boleh dipelajari oleh pelajar secara sendiri. Sebenarnya bahasa istana yang diajar didalam Bahasa Melayu adalah salah satu contoh honorifics. Cuma tidak dijelaskan secara terperinci oleh para guru bahasa menyebabkan pelajar mengganggap tiada apa-apa selagi tak masuk istana. 

Apa tu honorifics? Rajin-rajinlah tanya dengan cikgu Bahasa Melayu anda. Mereka ada jawapannya.

Something To Ponder

on Friday, August 16, 2013

Analogi 1.

Pisau. Objek yang amat berguna untuk kegunaan harian. Apa sahaja boleh dipotong. Tapi bila pisau disalahguna untuk membunuh, adakah penciptaan pisau itu satu kesilapan? Adakah penciptanya harus dihukum? Kerana salahguna yang dilakukan maka pisau harus dihapuskan?

"Disebabkan pisau telah disalahgunakan oleh si polan maka kita akan hapuskan pisau"

"Jadi macam mana kita nak memotong?"

Analogi 2.

Ahmad ada pisau. Dia nak guna pisau tu untuk bunuh Ali. Bapanya tahu niat Ahmad lalu dikurung anaknya dalam sebuah bilik. Ahmad memarahi bapanya kerana bapanya tiada hak untuk mengurung dirinya. Rakannya Latif bersetuju dan mendesak bapanya melepaskan Ahmad kerana tiada peraturan yang membolehkan bapanya mengurung Ahmad. Bapanya tiada alasan lagi untuk mengurung Ahmad kerana dia belum melakukan pembunuhan.

Analogi 3

Pisau yang Ahmad ada disorok dan tiada siapa yang tahu pisau yang disorok dan niat memiliki pisau tersebut. Lalu dibunuhnya Ali dan Ahmad melarikan diri. Bapanya disalahkan kerana tidak mampu menghalang Ahmad. Latif cakap...sebab bapanya gagal mengesan niat membunuh Ahmad maka bapanya harus dihukum.

Bapanya cakap..tadi aku dah kurung dia tapi kamu suruh aku lepaskan sebab kamu cakap dia ada hak asasi manusia dan aku tak ada hak untuk menyekat kebebasan dia. Sekarang kamu marah saya pula.

Fikirkanlah....