Sebentar tadi aku terbaca satu artikel di arusbaru.my berkenaan konsep bumiputera dan bukan bumiputera yang di tulis oleh Tai Zee Kin bertajuk "Bumiputera, untuk yang bukan bumiputera." (sini).
Coretannya cukup menarik untuk dikongsikan dan bagi aku ia benar tentang apa yang dirisaukan oleh golongan Melayu terhadap ancaman orang Cina di Malaysia dan mengapa Melayu cukup sensitif dan kuat dalam mempertahankan hak bumiputera tersebut. Mungkin tulisan beliau dapat membuka mata golongan Cina Cauvinis di negara ini.
Aku punya ramai teman-teman berbangsa Cina dan tidak seorang pun yang bersifat ekstremis kaum seperti yang terdapat di laman-laman sosial atau laman-laman blog. Mereka cukup baik dan tidak pernah mempertikaikan perihal bumiputera ini.
Mungkin ada yang akan berkata aku terlalu naif dan tidak seharusnya mempercayai mereka kerana mungkin mereka hipokrit di hadapan aku. Tiada sebab untuk aku bersangka buruk dengan mereka kerana mereka adalah sahabat aku dan aku belajar serta membesar bersama mereka. Di zaman yang serba canggih kini, kita boleh berhubung dengan teman-teman walau di mana anda berada melalui laman sosial. Di situ kita dapat lihat terdapat ramai individu ekstremis kaum yang mempertikaikan hak bumiputera ini serta memperlekehkan kemampuan bangsa Melayu mentadbir MALAYSIA ini. Tetapi tidak seorang pun dari mereka adalah sahabat aku.
Pada pendapat aku mungkin kerana aku dan teman-teman berbangsa Cina belajar bersama dan membesar bersama. Ya, kami belajar di sekolah kebangsaan di Terengganu. Seperti yang di tulis oleh saudara Tai Zee Kin terdapat golongan Cina yang langsung tidak bergaul dengan Melayu malah gagal bertutur dalam bahasa Melayu. Golongan inilah yang cuba memecah belahkan perpaduan yang telah dibina oleh nenek moyang kita.
Aku teringat kata-kata bekas Ketua Polis Perak, mendiang DCP Tan Sri Khoo Chong Kong semasa ditemubual oleh wartawan Berita Harian, Mokhtar Petah.
"Selagi orang-orang bukan Melayu tidak ikhlas menerima bahasa Melayu
sebahagian bahasa mereka dan mereka masih ada sentimen mahu menegakkan
bahasa mereka, maka selama itulah perpaduan tidak akan tercapai dengan
sempurna."
Bersamalah kita mempertahankan perpaduan yang telah kita bina bersama.
* Wang Shee Kiong, Tan Chin Keong, Ang Kai Loon, Wong Chee Sien, Alicia Ng and many more. Thanks for being my friends whole this life.


