Jangan Berbisik.

on Wednesday, May 16, 2012
Hari ini, seorang senior mengajak aku makan malam bersama selepas selesai tugas (lebih kurang 6.30 ptg). Aku menonton televisyen yang disediakan sedang dia bercakap di telefon dengan isterinya. Terdengar isi perbualannya walaupun tiada niat untuk mencuri dengar. Maklumlah makan semeja. Isterinya bertanya dengan siapa dia makan. Dia maklumkan dengan kawan kepada isterinya. Seterusnya, aku terdengar suara marah dia dengan nada menegur. Aku agak tidak selesa. Selepas itu dia meletakkan telefon. Marah gayanya.
Tanpa ditanya dia memberitahu yang isterinya bertanya tentang aku. Tidak percaya padanya mungkin terlintas dibenakku. Tetapi itu bukan sebab dia marah. Katanya, dia tidak suka berbicara tentang seseorang dihadapan orang itu walaupun bukan perkara yang tidak baik. Katanya seolah-olah mengumpat.

“Aku bukan apa, aku tak suka bila dia tanya macam-macam pasal kau pada aku depan kau. Aku tak suka bisik-bisik. Nanti kau cakap aku ngumpat kau.”  antara bait-bait ayat yang masih aku ingat.

Bila dia bercakap begitu pada aku, aku teringatkan sesuatu .

Hadis riwayat Ibnu Umar ra.:

Rasulullah saw. bersabda: Apabila terdapat tiga orang, maka janganlah dua orang (di antara mereka) berbisik-bisik tanpa menyertakan yang lain. (Shahih Muslim No.4052)

Hadis riwayat Abdullah bin Masud ra., ia berkata:

Rasulullah saw. bersabda: Apabila kalian bertiga orang, maka janganlah dua orang berbisik-bisik tanpa menyertakan seorang yang lain sehingga kamu dapat bergaul dengan manusia, karena dapat membuatnya sedih. (Shahih Muslim No.4053)

Dalam dunia moden ini, walaupun tanpa jasad individu ketiga itu dan melalui telefon perkara ini dilihat berada dalam situasi yang sama. Mengikut sesetengah Ulama’, apabila Rasulullah berkata ‘jangan’ bermakna jika dilakukan hukumnya haram. Maksudnya berdosa jika dilakukan. Bab hukum aku tidak berani untuk berbicara. Mereka lebih arif. Wallahualam.

Tapi apa yang senior aku cakap ada benarnya dan pernah dibangkit Rasulullah. Jadi, bagi aku situasi ini mengajak aku melihat dalam beberapa prinsip.

1. Jangan menimbulkan syak wasangka kepada orang lain. Pergaulan dengan orang lain hendaklah dengan menjaga adab, penuh kemesraan dan jauh dari prasangka. 
2. Menjaga hati dan perasaan orang lain supaya terhindar dari perbalahan dan permusuhan. Ini menunjukkan betapa Islam menjaga hak asasi manusia iaitu sesiapapun tidak boleh melukakan hati dan perasaan orang lain.
3.   Ini juga termasuk dalam adab majlis. Sesuatu  perkara perlulah dinyatakan dengan jelas dan terbuka. Jika ada sesuatu perkara yang sulit dan rahsia maka hendaklah dielakkan daripada bercakap di hadapan orang lain.

Bagaimana pula sekiranya dua orang yang sedang bercakap secara sulit dari mula lagi dan orang yang ketiga berada jauh dari mereka berdua yang memang dalam keadaan dia tidak mendengar perbualan tersebut lalu dia datang untuk turut mendengar?

Mungkin ini jawapannya.

Imam al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad mengemukakan satu riwayat.  

Daripada Sa’id al-Maqburi katanya: Aku lalu berdekatan dengan Ibn Umar dan bersamanya ada seorang lelaki sedang bercakap-cakap dengannya lalu aku pergi kepada mereka berdua lalu Ibn Umar menampar dadaku seraya berkata apabila kamu mendapati dua orang sedang bercakap-cakap maka janganlah kamu menyertai mereka berdua dan janganlah kamu duduk bersama mereka berdua sehinggalah diizinkan. Sayapun berkata: “Semoga Allah mengelokkan keadaan tuan, wahai Abu ‘Abdul Rahman, saya hanya berharap dapat mendengar perkara baik dari kamu berdua.”

Riwayat ini juga menunjukkan bahawa seseorang itu hendaklah mengelakkan diri dari urusan orang lain dengan cara mencelah di antara dua orang yang berbincang secara sulit meskipun dia berniat baik. Jadi, secara adabnya mintalah izin terlebih duhulu untuk menyertai satu-satu perbualan. Bak kata orang tua-tua “Jangan menyampuk”.

Jom kita fikirkan dan nilaikan. Jumpa lagi. Assalamualaikum.

0 comments:

Post a Comment