Sedang aku membelek-belek akhbar Berita Harian (15 Mei 2012); yang menjadi rutin aku setiap pagi kini, mataku tertarik terhadap satu isu yang dibangkitkan di ruangan Agama akhbar yang ditulis oleh Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. BUGHAH. Tajuk yang cukup menarik. Terasa ingin aku kongsikan bersama teman-teman di ruangan ini.
KONSEP BUGHAH DALAM ISLAM
Pengertian bughah
Bughah
mengikut istilah syara` adalah “ segolongan umat Islam yang melawan dan
menderhaka terhadap Ulil Amri (imam) iaitu pemerintah atau kerajaan
yang adil yang menjalankan hukum-hukum syariat Islam.’ (Kifayah
al-Akhyar, jild 2 hal 122)
Bughah
mengikut istilah ilmu tata negara adalah “perbuatan sekumpulan dan
segolongan umat Islam yang memberontak untuk menentang dan menderhaka
kepada ulil amri yang dinamakan jarimah siyasah( iaitu suatu kesalahan
dalam politik)”.( Qanun Jinayah Syariyyah, hal 129)
Bughah Menurut al-Quran dan Sunnah
Bughah dalam pandangan Islam disebut dalam firman Allah yang bermaksud; “Dan
sekiranya dua kumpulan orang beriman saling berperang maka damaikanlah
antara kedua-duanya, jika salah satu kumpulan telah menceroboh ke atas
kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang menceroboh itu sehingga
ia kembali kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan menceroboh). Jika ia telah kembali, maka damaikanlah kedua-duanya dengan
adil dan berlaku saksamalah, sesungguhnya Allah suka orang yang
melakukan kesaksamaan” (Surah Al-Hujurat : 9)
Sementara al-Sunnah terdapat beberapa penjelasan terhadap perbuatan Bughah. Antaranya adalah seperti berikut;
1. Daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud; Sesiapa
yang telah menghulurkan tangan dan hatinya (memberi bai`ah atau
kesetiaan) kepada seseorang pemimpin, maka hendaklah dia mentaatinya
selagi termampu. Sekiranya datang seorang lain yang cuba menentangnya
(memerangi pemimpin yang dibai`ah itu) maka pancunglah kepala
penentangnya itu”. Riwayat Muslim
2. Daripada Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya; Sesiapa
yang melihat sesuatu perkara yang ia tidak sukai daripada ketuanya maka
hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang berpisah daripada
jamaah walaupun sejengkal lalu dia mati maka matinya adalah mati
jahiliah”. Riwayat al-Bukhari dan Muslim
3. Daripada `Awf bin Malik al-Asja`i, beliau berkata yang bermaksud: “Aku
dengar Rasulullah s.a.w. bersabda; Sebaik-baik pemimpin kamu ialah yang
kamu kasihi mereka dan mereka kasihi kamu, kamu memdoakan mereka dan
mereka mendoakan kamu. Seburuk-buruk pemimpin ialah pemimpin yang kamu
benci dan mereka bencikan kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat
kamu. Kami berkata; Wahai Rasulullah s.a.w., bolehkah kami memerangi
mereka? Baginda menjawab; Jangan selagi mereka bersembahyang bersama
kamu kecuali orang yang diperintah oleh seorang pemimpin yang melakukan
maksiat maka hendaklah dia membenci maksiat yang dilakukannya itu dan
janganlah sekali-kali kamu mencabut ketaatan”. (Riwayat Muslim dan Ahmad)
4. Daripada Huzayfah bin al-Yaman r.a. berkata yang bermaksud bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; Akan
ada selepasku para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak
melakukan sunnahku. Akan ada di kalangan kamu pemimpin yang hatinya
seperti hati syaitan dalam jasad manusia. Aku (Huzaifah) bertanya;
Bagaimana harus aku lakukan jika aku sempat hidup dalam suasana itu ya
Rasulullah. Jawab baginda; Kamu dengar dan taat walaupun dia menyebat
kamu dan mengambil harta kamu, hendaklah kamu dengar dan taat. (Riwayat Muslim, al-Baihaqi)
5. Daripada Ubadah bin al-Somit beliau berkata yang bermaksud; Kami
telah membaiah Rasulullah s.a.w. untuk dengar dan taat dalam keadaan
kami suka atau benci, kami senang atau susah, mengutamakan pemimpin
daripada diri kami dan untuk tidak menentang pemimpin melainkan terdapat
kekufuran yang jelas hukumnya dalam agama Allah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
6. Daripada Abu Zar bahawa Rasulullah s.a.w. berkata yang bermaksud; Wahai
Abu Zar, bagaimanakah kamu sekiranya nanti kamu berada di bawah
pemimpin yang tamak dan tidak membahagikan harta harta al-fai` ini?.
Jawab Abu Zar; Demi Allah yang mengutuskan tuan dengan kebenaran, aku
akan pikulkan pedang atas bahuku dan memeranginya sehingga aku bertemu
tuan. Baginda pun bersabda; Mahukah jika aku tunjukkan kepadamu yang
lebih baik daripada itu? Iaitu engkau bersabar sehingga engkau menemuiku.
(Riwayat Imam Ahmad, dalam sanadnya terdapat perawi bernama Khalid bin
Wahaban , Ibnu Hibban menthiqahkannya manakala Abu Hatim pula
mengatakannya majhul)
Bughah Menurut Pandangan Ulamak
1. Imam Ghazali r.h. dalam kitabnya al-Iqtisad fi al-I`tiqad
mengatakan”….persoalan-persoalan ini membangkitkan pertentangan dan
sesiapa yang dapat menghindarkan diri daripadanya lebih selamat daripada
orang yang mencampuri atau terlibat dalamnya, meskipun pendirian yang
diambilnya benar, apatah lagi jika memilih jalan yang salah…”
2.
Ibn Abi al-`Iz pula berkata,…”adapun wali al-Amri berkemungkinan ia
menyuruh supaya tidak taat kepada Allah S.W.T., ia tidak boleh ditaati
melainkan dalam lingkungan taat kepada Allah S.W.T. dan rasul-Nya.
Adapun kemestian taat kepada mereka (dalam perkara yang bukan maksiat
kepada Allah S.W.T.) walaupun mereka zalim ialah kerana tidak mentaati
mereka akan mengakibatkan kerosakan yang berganda-ganda melebihi yang
dihasilkan daripada kezaliman mereka. Bahkan sabar terhadap kezaliman
mereka mengkifaratkan dosa-dosa, menambahkan pahala. Allah S.W.T tidak
menurunkan orang zalim ke atas kita melainkan kerana kerosakan perbuatan
kita. Balasan adalah sesuai dengan amalan. Maka kita hendaklah berusaha
bersungguh-sungguh beristighfar, bertaubat dan memperbaiki amalan.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud
“Atau
setiap kali musibah menimpa kamu, sesungguhnya Ia telah menimpa kamu
musibah yang seumpamanya. Kamu bertanya, dari manakah musibah ini.
Katakanlah wahai Muhammad ia datang daripada diri kamu sendiri”. (Ali Imran:165)
Dan Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud; “Dan
demikianlah Kami menempatkan orang zalim sebagai wali kepada orang
zalim sepertinya, sebagai hasil kerja-kerja yang mereka lakukan”. (Al-An`am:129)
Apabila
rakyat mahu membebaskan diri daripada kezaliman pemerintah mereka maka
mereka hendaklah meninggalkan kezaliman yang sedang mereka lakukan”.(Syarh al-`Aqidati al-Tohawiyah, juz 2, hal. 542,)
3.
Syeikh Muhammad bin Abdullah bin Sabil berkata, “…kesabaran ke atas
kezaliman imam (pemerintah) selain daripada yang wajib dari segi syarak
adalah lebih ringan mudharatnya daripada bangun menentangnya dan
menggugurkan ketaatan daripada mereka. Ini kerana natijah terhadap
penentangan terhadap mereka membawa kerosakan yang sangat besar.
Kemungkinan bangun menentang mereka akan membawa fitnah yang
berpanjangan dan merebak kemudharatannya yang membawa pertumpahan darah,
mencabuli kehormatan, merampas harta benda dan lain-lain lagi
kemudaratan yang banyak dan musibah yang besar ke atas negara dan
rakyat”.( al-Adillatu al-Syar`iyyah fi Bayani Haqqi al-Raa`iyyah. Riyadh)
4.
Budaya `isyan bukanlah budaya Islam, menurut ahli sunnah wal jamaah
kerana ia adalah daripada sifat-sifat iblis. Jika berlaku kezaliman
daripada pemerintah, apa yang mesti dilakukan ialah menjalankan gerakan
mengislah rakyat supaya memperbaiki kerosakan yang mereka lakukan kerana
kezaliman pemerintah itu adalah diutus oleh Allah S.W.T. sebagai
balasan atas kerja-kerja jahat yang mereka lakukan. Apabila rakyat
berjalan di atas landasan yang benar dan berada dalam keadaan yang
diredhai oleh Allah S.W.T. maka Allah S.W.T. akan menarik balasannya
dengan memilih dan melantik orang yang adil menjadi pemerintah mereka. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;
“Sesungguhnya
akan berlaku selepas zaman kamu kekecohan dan perkara-perkara yang
tidak menyenangkan kamu. Sahabat-sahabat bertanya, apakah yang patut
kami lakukan? Baginda bersabda, “kamu hendaklah menunaikan hak-hak yang
wajib ke atas kamu melaksanakannya dan memohon kepada Allah hak-hak yang
diperuntukkan kepada kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Al-Nawawi
berkata, “hadith ini menggesa supaya mendengar dan taat walaupun orang
yang memerintah itu zalim. Maka berilah hak ketaatan kepadanya dan
jangan menentangnya dan jangan melucutkan jawatannya, bahkan hendaklah
berdoa kepada Allah S.W.T. supaya menarik balik siksaan-Nya, berusaha
menolak kejahatan dan menjalankan usaha islah”. (Syarh al-Nawawi li Sahih al-Muslim, juz 12, hlm. 232)
5.
Sahl bin Abdullah al-Tastari berkata, “ … manusia sentiasa berada dalam
kebaikan selama mana mereka membesarkan pemerintah dan ulama`. Jika
mereka membesarkan kedua-dua institusi ini, Allah akan memperbaiki dunia
dan akhirat mereka dan jika mereka merendahkan kedua-dua institusi ini,
binasalah dunia dan akhirat mereka”. (al-Jami` li Ahkam al-Quran, juz 5
hal. 260)
Kesimpulan
Pemberontakan
atau bughah merupakan suatu perbuatan yang sangat bercanggah dengan
ajaran yang disarankan oleh Islam. Berdasarkan hadis serta pandangan
para ulama, umat Islam digesa supaya mengelakkan diri daripada perbuatan
bughah sebaliknya berusaha mewujud dan melindungi maslahat umum
daripada perbuatan yang merosakan keharmonian hidup mereka. Perbuatan
bughah dari sudut Islam adalah sama nilainya dengan kesalahan jenayah
lain malah ia lebih merbahaya kerana ia akan mengheret masyarakat kepada
kerosakan hidup secara lebih menyeluruh yang melibatkan orang lain yang
tidak bersalah.

0 comments:
Post a Comment