Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasa sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah.” (Hadis riwayat Muslim)
Dunia sekarang cukup menakutkan, fitnah di mana-mana saja. Tidak kira siapa. Manusia sewenangnya melafaskan kata tanpa mengendahkan akibatnya. Benarlah pepatah mengatakan ‘Lidah lebih tajam dari mata pedang’. Dalam dunia artis ianya lebih popular dengan istilah gossip. Tanpa bukti yang jelas tentang setiap pernyataan, bukankah itu fitnah namanya. Maka, profesion wartawan hiburan satu kerjaya yang cukup merbahaya. Mereka kadang-kadang bersungguh hendak mengetahui cerita-cerita buruk artis-artis ini. Ingat bahawa Allah swt ada berfirman yang bermaksud:”Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)
Mereka terlalu kusyuk menulis sehinggakan mereka terlupa antara yang benar dan yang bathil serta tidak menghiraukan perasaan orang yang diceritakan oleh mereka. Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?” Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)
Dalam setiap kolum tulisan mereka yang terang-terang menulis tanpa bukti sahih, hanya dengar cakap-cakap orang dan kononnya dari individu yang boleh dipercayai. Untuk mengelak tembelang mereka diketahuai maka keluarlah kenyataan bahawa identiti si pemberi maklumat dirahsiakan untuk tujuan keselamatan. Kalau mereka bercakap benar kenapa perlu dirahsiakan. Baca tajuk pun tahu, mereka hanya tulis menggunakan perkataan “Dengarnya…”, Khabarnya…’ atau “ Betul Ke…?’’. Kalau tidak pasti jangan ditulis.
“Cukuplah seseorang itu menjadi pendusta apabila ia menceritakan apa sahaja yang didengarnya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Lebih menakutkan apabila fitnah itu melibatkan ahli politik. Boleh dikatakan dunia politik sebuah dunia yang amat ngeri sehingga mereka boleh mereka-reka cerita yang melibatkan nyawa. Seolah-olah nyawa manusia seperti buah catur yang digerakkan untuk melindungi raja. Jika perlu, mereka akan dikorbankan. Menakutkan. Itulah situasi politik di negara kita sekarang ini. Bukan pembunuhan tapi cerita-cerita fitnah para penglipurlara jalanan. Untuk menjatuhkan pihak lawan cerita fitnah disusun, dirangka satu persatu agar ceritanya kedengaran realistik dan logik. Maka yang kurang berilmu dan taksub akan percaya tanpa sebarang penilaian dan kajian tentang kebenarannya.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Dari pemimpin grass root sehinggalah ke pemimpin atasan, semuanya sama . Tak kira dari parti kerajaan mahupun pembangkang. Demi kepentingan politik masing-masing,maka cerita fitnah direka untuk menjatuhkan pihak lawan. Kisah yang sebenar si pereka dan Allah sahaja yang tahu. Sebagai rakyat biasa yang jauh dari pemimpin-pemimpin atasan sama ada dari pihak yang memimpin atau yang membangkang; kebenaran satu-satu cerita pastinya sukar untuk dikesan. Hal ini menjadi konflik dalam diri muslim di Malaysia ini, mereka takut dikatakan sebagai bersubahat. Oleh itu, jadikan nasihat dari Imam Abu Ja’afar ath-Thahawi rahimahullah ini sebagai panduan dan percayalah bahawa Allah akan memberi kemenangan kepada mereka yang berjuang di jalan Allah swt.
Imam Abu Ja’afar ath-Thahawi rahimahullah berkata:
“Kita tidak boleh memberontak (membelot) terhadap para imam (pemimpin muslim) dan para penguasa walau pun mereka melakukan kezaliman. Kita tidak menyumpahi (memaki hamun) mereka dan tidak berlepas diri dengan tidak taat kepada mereka. Kita berkeyakinan bahawa mentaati mereka sepanjang dalam ketaatan kepada Allah adalah wajib, selama mana mereka tidak memerintahkan melakukan maksiat. Kita tetap mendoakan kebaikan untuk mereka supaya mereka dikurniakan dengan kebaikan sama ada dari segi fizikal atau pun rohani.”
Maka, doakanlah kebaikan buat pemimpin Islam supaya mereka dapat memimpin dengan lebih baik dijalan Allah. Tetapi situasi sekarang sangat berbeza, umat Islam akan mendoakan kebaikan untuk pemimpin yang kafir tetapi mendokan agar Allah s.w.t melaknat pemimpin kaum Muslimin kononnya mereka zalim terhadap rakyat.
Dari Auf bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu cintai dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Sejahat-jahat pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka membenci kamu, yang kamu menyumpahinya dan mereka menyumpahi kamu.” Kami bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah ketika itu kami boleh memerangi mereka dengan pedang?” Beliau menjawab: “Tidak, selama mereka masih menunaikan solat bersama-sama kamu. Ingatlah, sesiapa yang melihat pemimpinnya melakukan kemasiatan, hendaklah dia membenci kemaksiatannya itu, namun janganlah dia berlepas diri dari mentaatinya”.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1855)
Kalaulah dapat dikira, berapa ramai agaknya umat Islam negara kita yang telah mengangkat tangan mereka dari ketaatan terhadap pemimpin Muslim?
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang mentaatiku bererti dia mentaati Allah. Sesiapa yang menderhakaiku bererti dia menderhakai Allah. Sesiapa yang mentaati pemimpin, bererti dia mentaatiku. Sesiapa yang menderhakai pemimpinnya, bererti menderhakaiku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2957)
Dan berapa ramai yang telah menderhakai Rasulullah s.a.w?
“Seseorang muslim wajib mendengar dan taat, sama ada suka atau pun tidak. Melainkan apabila dia diperintah untuk melakukan maksiat. Bila dia diperintahkan untuk melakukan maksiat, tidak ada lagi istilah mendengar dan taat (dalam urusan maksiat tersebut.)” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2955)
Adakah kita hidup di sebuah Negara yang huru-hara, mundur dan diabaikan seperti negara-negara lain? Kita hidup di sebuah negara yang aman damai, tenteram dan maju inilah bukti pemimpin tidak mengabaikan kita. Kita semua berilmu dan berakal, sama-samalah kita memikirkannya. Jangan sampai terangkat tangan dari mentaati Allah s.w.t, Rasulullah s.a.w dan pemimpin kaum muslimin.
Sampai di sini sahaja nukilan saya buat kali ini, sekiranya ada sebarang kesilapan harap dapat diperbetulkan. Sesungguhnya yang buruk itu dari saya dan yang baik itu datangnya dari Allah s.w.t.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

0 comments:
Post a Comment